Sebagaimana yang diriwayatkan mengenai perilaku Rasulullah s.a.w.,
bahawa Baginda tidak pernah sama sekali memukul seorang pun dengan
tangannya, melainkan dipukulnya kerana fisabilillahi Ta’ala. Baginda
juga tidak pernah memeram dendam kerana sesuatu yang dilakukan ke
atasnya dirinya sendiri, melainkan bila melihat kehormatan Allah
dicabuli.
Jika Baginda diminta untuk memilih antara dua perkara, tanpa
ragu-ragu lagi Baginda akan memilih yang paling ringan dan mudah antara
keduanya, kecuali jika pada perkara itu ada dosa, ataupun akan
menyebabkan terputusnya perhubungan silaturrahim, maka Baginda akan
menjadi orang yang paling jauh sekali daripadanya.
Tiada pernah seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w., baik ia
merdeka atau hamba sahaya ataupun amah (hamba sahaya perempuan)
mengadukan keperluannya, melainkan Baginda akan memenuhi hajat
masing-masing.
Berkata Anas r.a.: Demi Zat yang mengutusnya dengan kebenaran. Ia
(Nabi) tiada pernah berkata padaku dalam perkara yang tiada diinginnya,
mengapa engkau lakukan itu. Dan apabila isteri-isteri memarahiku atau
sesuatu yang aku lakukan, maka ia berkata kepada mereka: Biarkanlah si
Anas itu, dan jangan dimarahi, sebenarnya tiap-tiap sesuatu itu berlaku
menurut ketentuan dan kadar.
Termasuk akhlaknya yang mulia, ialah memulakan memberi salam kepada
sesiapa saja yang ditemuinya. Jika ada orang yang mengasarinya kerana
sesuatu keperluan, ia menyabarkannya sehingga orang itu memalingkan muka
daripada baginda. Bila berjumpa dengan salah seorang sahabatnya, segera
ia akan menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Baginda tidak pernah
bangun atau duduk, melainkan lidahnya sentiasa menyebut nama Allah.
Seringkali bila sedang sembahyang, lalu ada tetamu yang datang kerana
sesuatu keperluan, maka segeralah ia meringkaskan sembahyangnya untuk
menyambut tetamu seraya bertanya kepadanya: Apa hajat anda?
Bila baginda berada di dalam sesuatu majlis antara para sahabatnya
tidak pernah dikhususkan satu tempat baginya, melainkan di mana saja
Baginda sampai, di situlah ia duduk. Baginda selalu menghormati sesiapa
saja yang mendatanginya, sehingga terkadang-kadang Baginda sampai
menghamparkan bajunya supaya orang itu duduk di atasnya. Sering pula
Baginda memberikan bantal sandaran kepada orang yang datang, supaya
orang itu bersandar padanya.
Bila di dalam suatu majlis yang ramai, Baginda menghadapkan wajahnya
kepada semua orang, satu lepas satu, sehingga seolah-olah kesemua
majlisnya, pendengarannya, percakapannya, kehalusan budi pekertinya dan
perhatiannya ditumpukan kepada setiap orang yang duduk bersamanya di
dalam majlis itu. Padahal majlis Rasulullah s.a.w. itu umumnya ialah
majlis yang diliputi oleh kesopanan kerendahan diri dan amanah.
Allah telah berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
“Oleh kerana rahmat Tuhan engkau bersikap lemah lembut terhadap mereka, dan kiranya engkau berbudi kasar dan berhati bengis, nescaya mereka akan lari dari sekelilingmu.” (Ali-Imran: 159)
Baginda lebih suka memanggil para sahabatnya dengan nama gelaran
masing-masing untuk menghormati mereka akan memikat hati mereka. Sesiapa
yang tidak punya nama gelaran, Baginda memberinya nama gelaran, lalu ia
pun dipanggil dengan gelaran itu. Bukan kaum lelaki saja yang diberi
nama gelaran malah kaum wanita juga, sama ada pernah melahirkan anak
mahupun yang tidak. Bahkan kepada anak-anak kecil pun demikian juga,
sehingga hati anak-anak itu tertarik kepada peribadinya s.a.w.
Baginda Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang amat jarang marahnya,
tetapi jika marah paling segera redha pula. Baginda adalah orang yang
berhati belas terhadap orang ramai, paling baik antara mereka sekalian,
dan paling banyak memberikan manfaat kepada seluruh manusia. Tidak
pernah sekalipun terdengar suara yang tinggi dalam semua
majlis-majlisnya.
Apabila bangun dari majlisnya, Baginda sering membaca :
No comments:
Post a Comment